loading...
SEORANG wanita Indonesia terpaksa melalui keadaan mencemaskan apabila bersalin di tempat duduk belakang sebuah kereta selepas tiada ambulans untuk membawanya ke hospital.
Lebih menyedihkan apabila bayi lelaki yang baru dilahirkan itu meninggal dunia selepas mereka sampai di Hospital Cut Nyak Dhien, Meulaboh, wilayah Aceh kira-kira 2,312 kilometer dari ibu kota Jakarta.
Kompas.com melaporkan, Linda, 20 tahun terpaksa dihantar ke sebuah hospital selepas mendapati bayinya berada dalam kedudukan songsang.
Bapanya, Tarmizi membawa anaknya ke Pusat Kesihatan Umum Mutulang tetapi petugas perubatan kawasan itu berkata, anaknya terpaksa dihantar ke hospital disebabkan keadaan bayi ketika itu.
Malangnya ketika itu, tiada ambulans di pusat berkenaan untuk membawa Linda ke hospital kerana dua ambulans yang ada digunakan dan dia terpaksa membawanya dengan keretanya sendiri sejauh 40 kilometer untuk ke hospital.
Tarmizi berkata, ketika tiba di Hospital Cut Nyak Dhien Meulaboh, separuh badan bayi berkenaan sudah terkeluar dari rahim Linda dan petugas terpaksa menguruskannya di belakang kereta.
Bayi itu bagaimanapun sudah tidak bernyawa apabila dilahirkan, tetapi ibunya terselamat.
Menurut Tarmizi dia kecewa kerana tiada doktor dan ambulans di pusat kesihatan umum ketika dia tiba di situ.
“Saya menelefon pemandu ambulans. Dia kata sedang hantar jenazah. Tetapi dalam perjalanan ke hospital, saya lihat ambulans itu di satu acara pesta,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kesihatan Wilayah Aceh Barat, Zafril Luthfy mengesahkan kejadian itu berkata, dua unit ambulans tersebut digunakan untuk pesakit lain.
“Ada dua unit ambulans di Mutulang, satu unit menghantar pesakit dan satu lagi diminta untuk menghantar jenazah,” katanya.
loading...