SEKOLAH DIARAH KESAN PELAJAR TERBABIT DENGAN GENG BASIKAL (VIDEO)

loading...

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor mengarahkan pihak semua supaya mengesan dan memberi sesi kaunseling kepada pelajar terbabit dengan kumpulan yang melakukan aktiviti berbasikal waktu malam di sekitar bandar raya ini.

Pengarahnya, Shaharudin Sharif berkata pihak sekolah sering kali memberi nasihat dan amaran kepada pelajar yang terbabit dengan kumpulan berbasikal semasa perhimpunan sekolah namun masih ada segelintir pelajar ingkar dengan peringatan tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa murid supaya melarang anak-anak mereka keluar lewat malam serta memantau pergerakan dan aktiviti mereka.

Tambahan pula, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan melupuskan basikal-basikal yang diubah suai tanpa ciri-ciri keselamatan yang dimiliki anak-anak mereka, katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat waris keluarga di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden lapan pelajar terbunuh manakala lapan lagi cedera apabila sekumpulan remaja berbasikal dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini, kira-kira pukul 3 pagi.

“Basikal-basikal mereka ini telah diubah suai sehingga tidak ada langsung ciri-ciri keselamatan. Untuk itu saya minta ibu bapa, sekiranya anak mereka mempunyai basikal ini, lupuskan sahaja sebelum perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara itu, timbalan pengarahnya, Azman Adnan, berkata pihaknya akan menguruskan hal berkaitan insurans memandangkan waris mangsa layak menuntut wang perlindungan insurans menerusi Skim Takaful Pelajar Sekolah Malaysia.

Selain itu, katanya, pihaknya telah menyediakan guru kaunseling bagi memberi nasihat dan semangat untuk keluarga mangsa.

“Selain kaunselor, kita juga memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa termasuk sedikit sumbangan kewangan bagi pengurusan jenazah,” katanya.

Walaupun kejadian seumpama itu berlaku di luar kawalan sekolah, namun katanya, pihak sekolah sentiasa mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar. – BERNAMA


loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »