loading...
INSIDEN David Teo dilempang Mat Over hangat diperkatakan di laman-laman sosial.
Kebanyakan daripada netizen menyuarakan pandangan tersendiri mereka berhubung kejadian tersebut.
Dalam banyak-banyak komen yang ditinggalkan, terdapat juga sesetengah netizen mengkritik moderator program Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni (Budayawan), Datuk Rosyam Nor yang disifatkan mereka kurang sesuai bergelar penggendali program tersebut.
Salah seorang netizen, Shafaatussara menulis pandangannya, “Tidak baguslah abang Rosyam berkata David Teo kurang ajar di hadapan PM. Mulanya DT (David Teo) komen kenapa abang Rosyam hanya fokus pada audience hadapan walhal platform merah itu kan bulat. Kemudian datang pula Mat Over melulu memukul DT. Saya yang menonton live FB terkejut dengan insiden ini.
“Kami tau la David Teo tu dah biadap takyahlah dok jadi batu api @iamrosyam (instahandle Datuk Rosyam).. ‘dia memang kurang ajar’. Aduishh patutnya u moderator tenangkan keadaan bukan mengapikan…,” tulis Nouresssa.eisya_s.
Sementara itu, Mierazn pula berkata, “Sorry to say but stick to your acting career please. Tak layak jadi moderator. Next time jangan accept job kalau kurang kelayakan dan pengalaman. I still respect you as an actor though. Assalamualaikum.”
Sementara itu, Rosyam menerusi laporan Harian Metro hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung insiden yang berlaku semalam.
Menurut aktor itu, David sepatutnya perlu lebih bijak untuk menyesuaikan diri.
“Dalam perkara ini kita kena ikut pepatah, apabila masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. InsyaAllah semuanya akan berjalan baik.
“Selepas kejadian itu, saya agak bercelaru. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana penggiat seni sudah diberi peluang oleh Perdana Menteri untuk melontarkan pandangan.
“Memang saya kecewa dan mujur saya dapat menahan kemarahan. Bagaimanapun, apa yang berlaku itu tidak mewakili semua penggiat seni.
“Selepas itu, saya ada bercakap dengan Perdana Menteri dan beliau okay saja. Saya rasa beliau faham,” kata Rosyam.
Insiden itu tercetus apabila David ditampar pelakon senior Sulaiman Yassin atau Mat Over selepas pemilik syarikat produksi MIG itu mempertikaikan cara Rosyam menggendalikan program tersebut.
David dikatakan merasa tidak adil kerana moderator hanya memberi fokus kepada tetamu yang berhadapan dengannya sahaja dan mengabaikan penonton di bahagian belakang bagi memberikan pandangan dan pendapat mereka.
loading...