loading...
ALOR SETAR – Seorang wanita cedera setelah terjun dari tingkat lima sebuah hospital di sini pada petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, wanita berusia 33 tahun itu nekad terjun dari bangunan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tanpa mengendahkan jeritan orang awam yang mahu dia membatalkan niatnya itu.
Wanita itu dipercayai datang ke HSB untuk menziarahi rakannya di sebuah wad di situ. Namun dia kemudiannya membuka tingkap di tingkat lima dan keluar ke belebas sebelum terjun.
Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail, wanita itu bernasib baik kerana dia terjatuh atas bumbung bangunan dan hanya mengalami patah tulang belakang.
Dia kini diberi rawatan di Unit Kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Yazri Ismail berkata hasil soal siasat dengan anggota keluarga, wanita itu dilapor menghidap sakit mental.
Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan. – Astro Awani
loading...