loading...
Pelakon dan pengacara, Nadzmin Ahdwa, 25, mengesahkan dia adalah pelakon yang ditahan polis akibat kesalahan dadah di Jalan Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan yang dibuat melalui syarikat pengurusannya, Mindorder Sdn Bhd, Nadzmi mendakwa dia terperangkap sehingga ditahan kerana terlalu mempercayai rakan baiknya.
"Selepas ditahan, baru saya tahu rakan saya itu sudah lama dalam pemerhatian polis atas kesalahan memiliki ganja. Nasib tidak menyebelahi saya kerana turut ada bersama ketika polis menahannya.
"Kesilapan saya kerana terlalu mempercayai rakan dan terpengaruh. Pengalaman ditahan polis memberi banyak pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya.
Menurut Nadzmi, dia yakin bahawa dia tidak bersalah dalam perkara ini dan sudah pun dibebaskan dengan jaminan polis sebaik sahaja selesai siasatan.
"Saya memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan tidak mahu mengulangi kesilapan sama lagi," katanya.
Jumaat lalu, pelakon drama Hati Perempuan ini bersama adik lelakinya yang berusia 21 tahun serta seorang rakan berusia 25 tahun ditahan di stesen minyak di Jalan Bukit Setiawangsa, kira-kira 1.20 pagi.
Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan ke atas kereta Honda Jazz dinaiki mereka menjumpai satu tin aluminium di bawah kerusi pemandu berisi satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan disyaki ganja mampat seberat 5.97 gram.
Polis turut menemui satu botol plastik yang diubah suai dipercayai peralatan untuk menghisap dadah berkenaan.
Semakan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka tiada rekod jenayah lampau
Sumber- Harian Metro
loading...