loading...
PANAS di dalam forum dan chat room hiburan tempatan hari ini tentang bekas kekasih penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan.
Menurut beberapa orang pengguna forum itu, bekas kekasihnya yang berbangsa Melayu dan merupakan seorang usahawan berjaya itu dikatakan sedang bahagia dengan cinta hati terbarunya yang juga seorang artis!
Hmm, siapalah agak-agaknya tu ya?
Kepada mereka yang sempat menonton kupasan mengenai isu ini di dalam Melodi TV3Ahad lalu pasti sudah maklum siapa gerangan artis wanita yang dimaksudkan itu, kan?
Malah, lelaki itu dan artis berkenaan juga dikatakan bakal disatukan dalam ikatan perkahwinan pada hujung tahun ini!
Jika benarlah berita ini, pasti hancur luluh hati penyanyi lagu Setia itu. Bukan apa, sudahlah terputus saat percintaan baru berputik akibat pembabitan orang ketiga, bekas teman lelaki pula terus mahu berkahwin dengan wanita itu.
Bagaimanapun, Elizabeth yang selesa menggelarkan dirinya Lizzy itu enggan mengulas mengenai perkara itu.
“Saya tak mahu komen mengenainya kerana sudah meneruskan kehidupan sendiri,” katanya.
Meskipun industri hiburan tempatan kita tidaklah sebesar mana, Lizzy berkata dia tidak pernah bertemu dengan artis yang dimaksudkan dalam mana-mana acara hiburan yang dihadiri.
“Sepanjang berada dalam industri hiburan, saya sendiri tidak pernah bertemu dengannya.
“Saya juga menyekat semua talian atau media sosial daripada bekas kekasih dan wanita itu kerana saya tidak mahu lagi pandang ke belakang,” katanya.
Diminta mengulas mengenai ‘perang’ antara netizen yang terdiri daripada peminatnya dan selebriti itu di beberapa ruangan forum, Lizzy memohon agar ia tidak diperbesarkan.
Menurut Lizzy, dia kini mahu fokus sepenuhnya pada kerjaya.
“Saya memohon peminat supaya tidak bergaduh, mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya dan membuli di Internet. Apa yang berlaku saya jadikan pengajaran.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan sekarang, fokus lebih kepada untuk memajukan kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon,” katanya.
Sebelum ini, Lizzy pernah mengaku dia sanggup membelakangkan keluarganya demi cinta. Oleh itu, dia berasa amat terkilan apabila hubungannya tamat.
“Saya akan lebih berhati-hati dalam memilih cinta selepas ini. Hubungan saya dengan keluarga pun sudah kembali pulih selepas berpisah dengan bekas kekasih,”tambah Lizzy lagi, yang kini sibuk menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul My Darling Inspektor Daniel bersama Aaron Aziz.
loading...