UPDATE: DIDERA AKIBAT DIDAKWA OLEH BOMOH MENCURI LAPTOP SUSPEK

loading...

PENUNTUT Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat didera, kelmarin dilaporkan dipukul rakan gara-gara seorang bomoh mendakwa dia merupakan individu yang mencuri komputer riba suspek.

Perkara itu didedahkan oleh rakan mangsa yang memaklumkan kepada ibu Zulfarhan, Hawa Osman menerusi mesej WhatApps, kata bapa saudara mangsa.

Dalam mesej itu menyatakan, mangsa telah dipukul sebelum Ramadan kerana dituduh mencuri walaupun dia bukan satu-satunya pelajar yang disyaki.

“Tapi Paan (Zulfarhan) jadi suspek sebab orang tanya bomoh la bagi keluar nama dia. Lepas tu nak bagi dia mengaku, kawan-kawan pukul dia beramai-ramai.

“Arwah kena pukul dua hari sebab tidak mengaku,” tulis mesej WhatsApp itu.

Sementara itu, pihak polis kini sedang berusaha menjejaki bomoh yang didakwa menyebut nama arwah dalam kes kecurian itu dan doktor sebuah klinik swasta yang merawat mangsa pada 27 dan 31 Mei lalu untuk diambil keterangan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pihaknya akan menyiasat segala kemungkinan berkaitan dengan kes penderaan siswa ini.

“Selain doktor itu, kami juga akan menjejaki dan merakam keterangan bomoh yang didakwa menyebut nama arwah sebagai individu yang mencuri komputer riba.

“Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa Allahyarham mengaku tindakannya (mencuri laptop).

“Sehingga ini, tiada penahanan dilakukan namun jika perlu berdasarkan bukti hasil siasatan, kami akan membuat penahanan lain,” katanya seperti yang dipetik Harian Metro.

Pada Khamis lalu, Zulfarhan, 21, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Serdang kira-kira jam 10 malam dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai ditekap seterika wap.

Ahli keluarga arwah turut menyifatkan keadaan mangsa “umpama daging bakar” dengan hampir semua tubuh ada kesan melecur.

Susulan itu, seramai 36 pelajar direman bagi membantu siasatan kes kematian pegawai kadet laut tahun tiga UPNM itu.

Terdahulu, ibu mangsa memberitahu, anaknya ada mengadu baru-baru ini dia dipukul rakan-rakan universiti namun mereka menyangka ia tidak serius. 
loading...

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »